Saturday, August 30, 2008

Khasiat Lalang

Lalang

Imperata cylindrica atau nama tempatannya lalang merupakan sejenis tumbuhan liar yang terdapat banyak di kawasan tanah terbiar dan di tepi parit, di kebun-kebun dan juga tumbuh liar di tepi jalan. Sebenarnya lalang hanya menjadi tumbuhan yang di anggap pengacau dan tidak mempunyai faedah. Tetapi, menurut kajian yang dibuat, didapati lalang tidaklah seperti yang disangkakan bahkan mempunyai faedah yang banyak daripada segi perubatan dan kesihatan.

Sejak zaman berzaman, lalang yang hidup meliar telah digunakan sebagai ubatan yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Seluruh pokok dari akar, batang, daun sehinggalah bunganya mempunyai khasiat. Akarnya dapat digunakan untuk mengubati bengkak pada bahagian bawah usus yang menyebabkan pendarahan dan kesakitan semasa membuang air besar serta dapat meredakan rasa tidak selera perut akibat terlalu penuh atau angin tidak keluar. Akarnya juga boleh digunakan untuk meredakan batuk dengan dicampur bahan-bahan lain seperti madu dan daun pudina. Batang lalang boleh dijadikan tonik dan digunakan sebagai bahan pemulih untuk penyakit-penyakit dalaman serta dapat meningkatkan aliran air kencing dan mengatasi masalah jangkitan saluran kencing.

Lalang juga dapat digunakan untuk mengubati sakit lelah, sakit kuning, hidung berdarah, busung dan lenguh sendi. Daripada kajian terbaru yang dilakukan oleh ahli sains mendapati lalang boleh digunakan unuk mengatasi masalah tekanan darah tinggi, mencegah pembengkakan otot ,mengurangkan demam serta boleh dijadikan sebagai anti-virus dan anti-kulat.