Landak raya diternak secara komersial - Spesies yang semakin pupus ini mendapat permintaan tinggi di dalam dan luar negara
DAGINGNYA lembut, tidak mengandungi lemak dan tidak berserat serta khasiatnya dikatakan mampu menyembuhkan penyakit kronik menyebabkan landak menjadi antara makanan pilihan.
Malah, keenakan daging landak sering menjadi bualan kelompok penggemar daging buruan sehingga ia dikatakan lebih lazat daripada daging kijang. Mungkin kerana isinya yang lembut walau hanya di salai apatah lagi di masak lemak atau dibuat sup.
Bagaimanapun kesukaran mendapatkan bekalan daging landak disebabkan populasinya yang hampir pupus dan ditambah tergolong dalam spesies haiwan buruan yang dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 1972 (Akta 76/72) menyebabkan pihak berwajib mula mencari alternatif untuk membiakkan ternakan itu.
Berikutan itu, projek penternakan komersial landak raya secara usaha sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan orang awam sejak 2005 menggunakan teknologi moden dijangka dapat membantu meningkatkan bekalan daging landak.
MENTERNAK landak untuk tujuan komersial kedengaran janggal. Namun bagi yang pernah merasai keenakan daging haiwan yang semakin diancam kepupusan itu, usaha penternakan komersial landak raya atau Hystrix Brachyura pastinya memberi khabar gembira kepada mereka.
Projek penternakan komersial landak raya diusahakan secara bersama oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan orang awam sejak 2005. Melalui program itu, beberapa aspek aplikasi bioteknologi dikaji.
Walaupun keutamaan diberikan kepada pembiakan dan skop genetik molekul tapi nilai tambah lain juga dibangunkan bagi memperkukuhkan keperluan penggunaan spesies ini secara lestari selain kepentingan konservasi spesies.
Usaha dilakukan pihak terbabit mampu memberi impak besar pada bilangan populasi hidupan liar dalam kurungan melalui sistem pembiakan teratur dan aplikasi bioteknologi pembiakan terkini.
Penternak landak raya di Banting, Selangor yang mempelopori penternakan landak raya secara komersial bersama Perhilitan, Tukiran Dalimi, 45, berkata landak raya mempunyai pasaran dan nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara.
Tukiran mendapat kebenaran Perhilitan untuk memburu serta membiak haiwan yang dilindungi sepenuhnya Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 1972 (Akta 76/72).
Akta berkenaan diwujudkan bagi melindungi hidupan liar tempatan dan hidupan liar yang tersenarai dalam Konvensyen CITES. Landak raya adalah spesies hidupan liar yang dilindungi dalam senarai Jadual Dua Bahagian II - Binatang Perburuan.
Segala aktiviti yang membabitkan hidupan yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya tanpa lesen atau permit khas adalah menjadi satu kesalahan serta boleh dikenakan denda atau dipenjara.
“Saya mendapat lesen dari Perhilitan untuk memburu 100 ekor landak raya liar bagi tujuan pembiakan bagaimanapun sebelum memulakan projek ini tiga tahun lalu, hanya lima ekor landak liar saya buru untuk dijadikan baka.
“Seekor landak jantan dan empat betina yang saya dapat dari kawasan belukar berhampiran Litar F1 Sepang itulah permulaannya dan sehingga kini saya mempunyai kira-kira 40 ekor landak raya berusia dari dua tahun hingga sehari,” katanya leka membelai landak peliharaannya yang manja dan kenal tuan.
Menceritakan idea untuk menternak landak raya, Tukiran berkata, usaha itu bertitik tolak daripada kekecewaannya terhadap penternakan lembu dan kambing.
“Ketika itu saya membela lembu dan kambing tapi binatang itu memberi banyak masalah malah menjaganya juga sedikit leceh. Sudah diberi makan yang cukup pun masih masuk ke kawasan orang membuat kacau.
“Lama memikirkan apa boleh menggantikan lembu dan kambing, saya terfikir mengenai daging landak yang turut mendapat permintaan tinggi lalu idea itu saya usulkan pada Perhilitan,” katanya yang kini mampu berbangga dengan tiga generasi landak yang diternaknya.
Ladang landak raya milik Tukiran di Kampung Labuhan Dagang, Banting, Selangor dipagar tinggi bagi mengelakkan diceroboh pihak luar. Manakala landak pula ditempatkan di dalam kandang berjeriji besi.
“Tujuan pagar itu dibuat bagi mengelakkan kanak-kanak bermain dengan landak berkenaan. Apa yang dirisaukan apabila diganggu, landak boleh melepaskan durinya yang berbisa sehingga jarak 0.6 meter. Ia mungkin boleh mendatangkan kecederaan atau maut.
“Sifat landak juga berpuak-puak, apabila bertembung dengan landak dari kumpulan lain, mereka akan bergaduh. Kekuatan mereka di luar jangkaan. Malah, kandang besi juga mampu dipecahkan jika bergaduh,” katanya.
Kata Tukiran, melalui program usaha sama Pembiakan Komersial Landak Raya bersama Perhilitan, setiap penternak yang berminat perlu mendapatkan kebenaran Perhilitan. Jabatan berkenaan akan bertanggungjawab memberi sokongan dari segi khidmat nasihat mengenai pemakanan, sifat dan kawasan kandang yang sesuai untuk landak peliharaan.
Landak raya peliharaan Tukiran diberi makan daun ubi, daun betik muda dan buah kelapa sawit dari pokok sawit sekitar kawasan ladangnya. Sesekali makanan landak disulam dengan dedak, vitamin dan garam mineral yang disarankan Perhilitan bagi membekalkan nutrien yang cukup untuk tumbesaran landak.
Tukiran berkata, keistimewaan daging landak adalah pada dagingnya yang lembut, tidak mengandungi lemak dan tidak banyak serat. Dagingnya juga enak jika disalai, dimasak rendang, sup atau kari walaupun dagingnya mempunyai rasa dan bau yang sedikit menyengat dengan warna yang sedikit pucat.
“Amalan memakan secubit hati landak setiap hari juga dikatakan mampu menyembuhkan penyakit kronik seperti kanser, lelah dan leukimia. Daging landak juga mempunyai gen yang boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka,” katanya.
Ketika kecil dulu duri landak turut berguna sebagai penunjuk ketika kelas mengaji. Ada juga sebilangan masyarakat yang mempunyai kepercayaan karut dengan membalut duri landak di dalam kain kafan sebagai penolak bala. Ada juga yang mengaitkan amalan memakan ekor landak mampu meningkatkan tenaga batin.
Tukiran bagaimanapun menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan amalan memakan daging landak sebagai ubat atau tonik untuk meningkatkan fungsi seksual atau kepercayaan lain.
Tukiran berkata, penternakan landak mempunyai potensi untuk dikembangkan iaitu sebagai alternatif untuk daging lembu atau kambing. Tapi beliau lebih selesa menjadi pembiak dan pembekal baka landak raya untuk pengusaha yang berminat.
Di pasaran, daging landak raya boleh mencecah sehingga RM70 sekilo malah seekor landak raya hidup boleh dibeli dengan harga RM1,000 seekor manakala harga sepasang landak raya adalah RM3,500 bergantung pada saiz dan umur.
Tukiran mensasarkan untuk mewujudkan lima francais penternak landak raya sebelum memasarkan daging landak di pasaran dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Kini saya ada kira-kira 40 ekor landak raya yang sesuai disembelih bagi mendapatkan daging, malah permintaan dari pembekal daging dan orang ramai juga sangat banyak.
“Tapi saya agak keberatan untuk menjual daging. Ketika ini saya lebih berminat untuk menjadi pembekal baka landak raya untuk sesiapa yang berminat memulakan penternakan landak,” katanya.
Sementara itu di Seremban; hanya sebuah restoran menyediakan masakan daging landak, bagaimanapun hidangan itu bukannya pada setiap hari kerana ia bergantung kepada bekalan daging yang diperoleh dari Johor.
Restoran Nelayan Seafood & Catering Sdn Bhd atau dikenali sebagai Restoran Nelayan, yang beroperasi sejak 20 tahun lalu di Jalan Za`ba, menyediakan daging landak masak lemak cili api dan masak halia dicampur kicap.
Pemiliknya, Abd Hadi Othman, berkata harga yang dikenakan RM10 bagi satu senduk tetapi masalah yang sering dihadapi ialah bekalan tidak mencukupi.
"Penggemar masakan landak bukan saja dari negeri ini malah dari Kuala Lumpur dan Melaka dan ada kalangan mereka adalah pelanggan tetap," katanya.
1 comment:
Artikel di blog ini menarik & bagus. Untuk lebih mempopulerkan artikel (berita/video/ foto) ini, Anda bisa mempromosikan di infoGue.com yang akan berguna bagi semua pembaca di tanah air. Telah tersedia plugin / widget kirim artikel & vote yang ter-integrasi dengan instalasi mudah & singkat. Salam Blogger!
http://www.infogue.com
http://www.infogue.com/makanan_minuman/lauk_landak_sedappp/
Post a Comment