Saya katakan belida ikan yang unik kerana bentuk tubuhnya yang berbeza dari ikan lain. Tidak ada ikan tempatan lain yang seiras dengannya, kalau adapun yang paling dekat mungkin tapah. Dengan rahang yang luas, misainya dan perut yang menggeleber, perbezaannya amat ketara.
Belida ialah ikan yang nipis jika dilihat dari pandangan atas, lebih nipis dari lampam. Mungkin pada pandangan pertama kita mengatakan ia tidak besar. Sebenarnya belida ialah ikan yang pembesarannya tidak terhad.
Dua ciri utama belida ialah sirip dorsal yang bersambung dengan sirip ekor dan membentuk ekor. Bolehlah kita katakan bahawa sirip anal juga ekor belida. Jika kita memerhatikan belida, cara pergerakannya ialah 45 darjah. Kepalanya akan condong 45 darjah kebawah. Ini adalah kesan dari kayuhan sirip anal yang menolaknya ke depan.
Pergerakan sirip anal di dalam air sama seperti kibaran bendera ditiup angin dan membalas setiap pantulan cahaya yang menimpanya. Nama saintifik dan nama dalam bahasa inggeris diambil sempena kecantikan yang ada pada sirip belida. Perkataan 'notos' berasal dari Greek bermakna belakang dan 'pterygion' ialah bulu.
Belida ialah ikan dari golongan clupeiformes, badan seperti ikan 'herring'. Ikan lain yang termasuk dalam golongan ini ialah ikan parang (Chirocentrus dorab) dan ikan bilis (Stelophorus commersonii). Kelisa yang dikenali antara ikan tempatan yang garang adalah dari golongan ini.
Belida
kepelbagaian
Terdapat dua spesies belida yang lazim dijumpai di Semenanjung Malaysia. Yang paling kecil ialah Notopterus notopterus. Kebiasaannya dijumpai di sungai-sungai kecil, paya atau lombong. Mulutnya lebih pendek dari Notopterus chitala. Jarak sirip dorsal dan kepala lebih dekat, orang Melayu di utara dan Kelantan memanggilnya ikan selat. Saya masih teringat memancing ikan ini di Sungai Korok, Perlis semasa kecil. Saya amat tertarik dengan warna keperakan pada badannya. Setiap hari saya mesti mendapatkan selat, paling tidak pun seekor untuk melihat sinaran pada badannya apabila ia bergerak.Ikan selat senang dipancing menggunakan umpan cacing atau udang kecil. Mereka biasanya berkumpulan, jika mendapat seekor, kita tahu di bawah sana masih banyak lagi. Seekor demi seekor akan menelan umpan dari tempat yang sama sehinggalah ikan terlucut dari mata kail. Buruan kita yang lain akan terkejut dan takut untuk memakan umpan. Lebih baik beredar mencari kawasan lain.
Di lombong lama di Subang dan Puchong (yang sedihnya sekarang telah ditimbuni bangunan dan kawasan perumahan) saya menggunakan perambut 6lb sepanjang 6 inci, mata udang nombor 10 yang dilekatkan cengkerik atau udang hidup.
Setiap kali pergi memancing saya boleh mendapat lebih dari 20 ekor. Perlawanan tidak begitu memberangsangkan kerana ikan akan mengikut sahaja apabila kekili diputarkan. Hanya ragutan permulaan sahaja yang menyenangkan, joran Ugly Stik membengkok apabila mereka meragut umpan.
Untuk perlawanan yang hebat dan mendebarkan, saya menyarankan anda mencari Notopterus chitala. Untuk memburunya memerlukan kesabaran dan usaha yang tidak boleh dikatakan ringan. Jenis besar ini hanya boleh dijumpai di kawasan pendalaman atau sungai-sungai besar.
Perjalanan saya di negara kita telah menemukan saya dengan tempat yang dihuni oleh gergasi ini, Tasik Cenderoh dan Kenering di Perak, sebahagian Sungai Muar dan Tasik Bera. Terdapat juga di sebahagian sungai di Pahang dan Selangor tetapi amat sukar dijumpai. Saya mencarinya berpandukan kepada pengetahuan penduduk tempatan. Satu alasan untuk memperpanjangkan silaturrahim dengan penduduk pendalaman atau kampung.
Dua spesies belida yang tidak terdapat di negara kita ialah belida yang mempunyai 'bunga' atau tanda di bahagian bawah tubuh menghala ke bahagian ekor. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini ia telah banyak ditemui di lombong-lombong. Satu spesies berasal dari Thailand dan satu spesies lagi berasal dari Indo-China. Spesies dari Indo-China lebih cantik dan menarik.
No comments:
Post a Comment