Friday, March 28, 2008

SPECIES OF FRESH WATER FISH IN MALAYSIA

Kelah (Tor tambroides)






Ikan air tawar yang paling sukar untuk dipancing. Seandainya kita terserempak dengan ikan ini di habitat liarnya sahaja tanpa menakutkannya, itupun sudah dikirakan sebagai satu kemenangan.

Kemudian tiba pula masalah bagaimana hendak menghulurkan umpan atau gewang kepadanya di dalam sungai yang penuh dengan kayu-kayu tumbang dan batu-batu tajam yang pasti mentertawakan tali tangsi yang kita gunakan. Dan sekiranya makhluk ini menyentuh dan memakan umpan kita, ia akan memecut laju bagaikan peluru. Jika peralatan memancing anda tidak gagal semasa larian pertama ini, anda akan berhadapan dengan halangan kedua bila makhluk liar ini mula menjunam dan membenam ke tunggul-tunggul kayu berhampiran. Sekiranya tali anda masih berjaya menahan amukan kelah tersebut, ianya akan berusaha sedaya upaya sehingga ke detik terakhir untuk melepaskan diri biarpun sudah sampai ke tebing. Memang berbaloi sekiranya anda berjaya mendaratkan seekor kelah setelah berhempas pulas dan sengal-sengal tangan serta seluruh badan sepanjang bertarung dengannya. Akhirnya anda pasti bersorak dengan penuh keriangan, "Aku Berjaya!"

Pertarungan hebat dengan raja sungai pergunungan ini seumpama satu lagenda. Ada perkara menarik yang saya ingin ceritakan melalui pengalaman seorang kawan yang pernah mencuba nasib memancing kelah di Sg. Tanum, Pahang. Seekor kelah yang besar telah menyambar umpannya pada pukul 1:00 petang lalu meluru dengan pantas ke bahagian hilir sungai sejauh 50 meter, kemudian memecut semula ke bahagian hulu dan masuk ke dalam lata yang airnya sangat deras. Setengah jam kemudian tali 30 paunnya putus. Beliau jatuh terduduk, seakan-akan tidak sedarkan diri dan kemudian termuntah-muntah. Kombinasi sinar matahari yang terik dan pertarungan yang sengit menyebabkannya begitu tersiksa.

Kelah akan menguji kemahiran anda memancing hingga ke titisan terakhir, bukan sahaja dari segi teknik dan ketahanan peralatan yang digunakan, malah cara anda hendak menjejaknya sewaktu memburu. Oleh itu biar saya terangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

Kaedah Yang Betul

Mula-mula sekali bagaimanakah cara anda hendak menghampiri lubuk kelah. Kelah merupakan sejenis ikan yang amat liar dan sensitif kepada persekitarannya. Ia mudah takut dan cabut lari dengan pantas sekiranya ternampak bayangan. Anda perlu bergerak serendah mungkin dan gunakan pakaian yang boleh menyamari alam persekitaran seperti warnaa hijau atau biru gelap. Warna celoreng seperti pakaian ala tentera adalah yang terbaik. Jangan timbulkan sebarang gangguan atau bunyi yang tidak diingini seperti mengharung air ataupun terlalu kerap melontar umpan. Sekilas pergerakan joran juga boleh memeranjatkannya. Jadi, cuba bergerak di bawah bayangan pokok.

Keduanya perihal penyampaian umpan. Lontarkan umpan ke sudut yang anda fikir kelah berada. Nampak senang bukan? Tetapi sebenarnya ia tidak semudah yang disangka. Kelah sentiasa bergerak bergantung kepada masa dan yang pelik, tabiatnya berbeza di antara satu sungai dengan sungai yang lain! Mempelajari tabiat kelah akan memakan masa beberapa hari. Jadi, jangan sangka begitu mudah untuk mendapatkan walau seekor kelah pada kali pertama memancingnya kecuali sekiranya anda pergi bersama dengan pemancing kelah yang berpengalaman di sungai tersebut. Dan anda pasti mengalami pengalaman pahit yang pemah dialaminya.

Ketiganya tentang umpan. Gunakan umpan yang kelah biasa makan tetapi bukan mudah untuk memilih yang terbaik. Makanan semula jadi kelah ialah buah-buahan hutan asli seperti buah neram, maris, ara, perah, jambu air dan buah mata lembu. Jika terdapat salah satu musim buah tersebut, kelah hanya memakan sejenis buah sahaja dan tidak akan memakan benda lain. Jadi, anda perlu menyampaikan umpan buah tersebut mengikut keadaan semulajadi kalau tidak lebih baik balik ke rumah.

Jika bukan musim buah tersebut, anda akan berpeluang menggunakan umpan yang lain. Yang penting, bawa umpan dalam jumlah yang banyak kerana anda perlu merangsang kelah terlebih dahulu supaya biasa dengan umpan tersebut, dengan cara menabur umpan ke lubuk berkenaan selama satu atau dua hari. Antara umpan kegemarannya ialah ubi kayu, kelapa sawit dan biji getah yang dibakar. Sekarang ini, buah kelapa sawit merupakan umpan yang paling popular kerana mudah didapati dengan banyak serta berbau kuat dan sangat berkesan walaupun dalam air yang keruh.

No comments: