Thursday, March 27, 2008

merokok

Apakah pandangan ustaz tentang merokok dan hukumnya menurut pandangan Islam, saya ada mendengar ada pendapat yang mengatakan terdapatnya ulama silam yang hanya menghukumnya sebagai makruh dan tidak haram, adakah ia benar?- Klang-

Jawapan :

Sebelum saya memasuki jawapan, suka saya mengingatkan bahawa pemerintah kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 m) sangat kuat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan undang-undang bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam Negara.

  • Adapun dari sudut hukumnya ; sebagai asasnya, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukumannya berdasarkan berbezanya tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil dari rokok. Hakikatnya, dalam hal ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada “ahl az-zikr” dalam halnya, “ahli az-zikr” dalam hal rokok adalah doktor perubatan (selain ulama) yang mampu mengenalpasti impak buruk dari rokok kepada tubuh dan kehidupan. Maka sebarang fatwa ulama yang tidak dibuat berlandaskan maklumat lengkap dari para doktor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.



Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada 2 kumpulan dalam hukum rokok. Ia seperti berikut :-

1) Kumpulan yang Memfatwakan Haram

Ulama kontemporari yang mengatakan demikian adalah Dar Al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, Seluruh ahli persidangan Mencegah rokok ( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982) , Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979 ; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah

  • Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh Muhd Alauddin Haskafi al-Hanafi, Syeikh Sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar’ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, hlm 25-26)
  • Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun ( seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain ) yang terkandung di dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur, At-ta’liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35 )
  • Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut “Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut “rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh ” ( Rujuk Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346 )
  • Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT: “Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman” ( Al-Furqaan : 59 ) ; Justeru, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.
  • Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya : “Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat” (Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di atas syarat Muslim kata Az-Zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)

Hadith lain pula menyebut : “Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia” ( Riwayat Al-Bukhari, KItab al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi’ as-Solat, no 876 )

2) Kumpulan yang Memfatwakan Harus atau Melihat secara tafsil (terperinci)

Ulama yang di pihak ini adalah Syeikh Abd Ghani an-Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan), Syeikh Hasan Makmun.

  • Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandagan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu. Hasilnya mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan menggangu, justeru, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru perubatan.
  • Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah Haram merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh sendiri, orang lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam menyebut : “Ad-Darar Yudfa’ Bi Qadaril Imkan” ; ertinya : “Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan” (Al-Madkhal Al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)

Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata (dengan pindaan) :-

  • Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.
  • Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil. Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi yang belum merokok, dan makruh bagi seisap yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera.

Wallahu a’lam.


No comments: