DARI Dukung Anak ke Derhaka Mertua, Sundal Malam ke Sedap Malam, Lempoyang Gajah ke Lidah Buaya, Sambung Nyawa, Tutup Bumi, Paku Tunjuk Langit, Mas Cotek, Pecah Beling dan banyak lagi – semuanya mungkin pernah menyentuh hidup kita dalam pelbagai cara.
Ia selalunya memberikan kelegaan segera dalam waktu-waktu kecemasan seperti luka ringan, sakit kepala, tergeliat, panas badan, patah tulang – tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa. Ada juga yang mengamalkannya untuk penjagaan diri agar cantik dipandang mata dan awet muda.
Pendek kata, herba dan rempah-ratus telah memainkan peranan yang penting dalam hidup manusia sejak lama dulu – baik dalam konteks politik, hubungan cinta asmara, agama, kesihatan mahupun tahyul dan jampi serapah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan herba sebagai tanaman atau bahagian tumbuhan yang digunakan untuk bau, rasa atau bahan perubatannya.
Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (PTK), Kementerian Kesihatan, Dr. Ramli Abd. Ghani berkata, produk perubatan herba merupakan suplemen (penokok) diet yang diambil oleh para pengguna untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka.
‘‘Banyak herba yang telah digunakan sejak lama dahulu yang didakwa mempunyai manfaat dari segi kesihatannya. Ia disediakan dalam bentuk tablet, kapsul, serbuk, teh, ekstrak (pati) dan tanaman segar atau dikeringkan.
“Bagaimanapun, sesetengah daripadanya boleh mendatangkan masalah kesihatan, mungkin juga tidak berkesan dan boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan lain yang digunakan, mengakibatkan komplikasi,’’ ujar beliau.
Contohnya, bagi yang mengalami penyakit jantung atau koronari, beberapa ubat herba boleh menyebabkan komplikasi darah beku. Jadi, berhati-hatilah menggunakannya.
Herba sepatutnya mendatangkan kesan sampingan biasa seperti ketidakselesaan pada perut, mual dan pening yang ringan. Justeru, penting untuk merujuk doktor terlebih dahulu sebelum mengambil terapi herba.
Mengulas lanjut, herba mengandungi komponen aktif yang boleh memberikan kesan mencegah dan merawat penyakit.
Berdasarkan perangkaan WHO, sebanyak 80 peratus penduduk dunia masih bergantung kepada tanaman perubatan untuk keperluan penjagaan kesihatan mereka. Berdasarkan kajian pada 2004, 60 peratus rakyat negara ini menggunakan herba.
Malaysia menjadi tuan rumah kepada 12 peratus (8,000) daripada spesies tanaman dunia yang mana 2,000 daripadanya dikatakan mempunyai nilai-nilai terapeutik dan perubatan yang tinggi.
Ditanya sama ada herba di Malaysia boleh dianggap terbaik di dunia, Dr. Ramli mengakui, potensinya sangat luas.
“Setakat ini kita belum lagi menjalankan kajian klinikal secara meluas ke atas manusia, hanya pada binatang. Misai kucing, pegaga dan kacip fatimah misalnya mempunyai khasiat yang memberangsangkan tetapi masih memerlukan kajian lanjut.
“Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Hospital Kuala Lumpur ke atas misai kucing tidak lama dulu, ia sangat berkesan untuk mengubati batu karang,’’ katanya.
Contoh lain, pokok Vitangor yang mana penyelidikannya dilakukan di Sarawak dengan kerjasama saintis Amerika Syarikat (AS) berkesan dalam rawatan HIV/AIDS. Kajian telah melepasi peringkat saringan ke atas binatang, fasa satu, dua dan tiga.
Ubat seterusnya akan didaftarkan apabila diyakini tidak mendatangkan kesan sampingan serius kepada orang ramai sebelum memasuki pasaran.
Mengambil kira potensinya yang luas, kerajaan mengambil pendekatan memperkenalkan PTK secara rasmi di negara ini. Akupunktur, urutan dan herba akan dibawa masuk ke tiga hospital perintis di seluruh negara, Ogos atau September ini.
Pendekatan serupa telah pun diterokai oleh negara-negara seperti Australia, United Kingdom (UK), AS dan Sipngapura.
“Negara-negara seperti China dan UK turut mempunyai kurikulum PTK yang diajar di universiti mereka seperti ayurveda. China yang terkenal dengan ginsengnya telah lama menggabungkan rawatan kemoterapi dengan herba dalam merawat penyakit kanser.
“Semua orang sedia maklum dengan kesan sampingan kemoterapi yang mengurangkan jumlah platelet dan sel darah merah selain keguguran rambut, rasa mual, loya dan sebagainya. Penggunaan herba membantu meningkatkan sistem imun pesakit sekali gus menambah kualiti hidup mereka.
“Perubatan moden masih lagi menjadi teras rawatan, PTK hanya satu sokongan. Selepas diserang strok misalnya, pesakit akan dirujuk bagi menjalani urutan sebagai satu rehabilitasi (pemulihan semula),’’ tambah Dr. Ramli.
Bagaimanapun, katanya, tidak salah jika pesakit mahu menggunakan rawatan herba sebagai pilihan pertama. Ia terpulang kepada kehendak masing-masing.
“Ada persepsi yang mengatakan perubatan alopati (moden) banyak mendatangkan kesan sampingan yang tidak diingini dan secara tidak langsung, ini memberikan nilai tambah kepada herba.
“Saya yakin, lebih banyak kajian akan dijalankan ke atas herba. Masa depannya sangat cerah. Apa yang penting, pengguna perlu tahu herba apa yang hendak digunakan, kena dapatkan maklumat daripada para doktor dan ahli farmasi terlebih dahulu.
“Sekarang pun, semakin banyak doktor moden yang berminat dengan PTK seperti herba malah ada juga yang telah menjalani kursus,’’ demikian saranan Dr. Ramli.
Ditanya kenapa penggunaan herba tidak berapa digalakkan oleh doktor-doktor kepada para pesakit mereka malah ada yang menentangnya secara terang-terangan, Dr. Ramli menjelaskan, rata-rata doktor moden yang ada hanya memberikan tumpuan terhadap rawatan moden semasa di universiti.
“Tiada disentuh mengenai herba jadi pengetahuan mereka mengenainya adalah kurang. Di samping itu, mereka telah dilatih menggunakan bahan-bahan yang telah terbukti melalui ujian klinikal sahaja,’’ terangnya.
Beliau menarik perhatian, sebanyak 25 peratus daripada ubat-ubatan moden juga diperbuat berasaskan herba dalam bentuk ekstrak.
Sebelum menggunakan produk berasaskan herba berundinglah terlebih dahulu dengan doktor anda, jangan ambil dos yang berlebihan daripada saranan label dan gunakan herba hanya di bawah pengawasan profesional perubatan terlatih. Sekiranya anda sedang hamil atau menyusukan bayi, ambil langkah lebih berjaga-jaga.
Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan bolehlah menghubungi bahagian PTK di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur menerusi talian 03-22798111 atau layari laman web: http://tcm.moh.gov.my
No comments:
Post a Comment