ADA tiga ayat al-Quran yang menyebut kata 'barakat' jamak kata 'barkah', satu kata dalam satu surah dan dua kata dalam satu surah.
Pertama firman Allah yang tafsirnya: "Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Bagaimanapun, mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Surah al-A'raf: 96)
Kedua, firman-Nya bermaksud: "Allah berfirman: "Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan umat-umat yang bersamamu." (Surah Hud: 48)
Ketiga, firman Allah dalam Surah Hud juga ayat 73 yang maksudnya: "Malaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau berasa hairan mengenai perkara yang ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkat-Nya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah Kebaikan dan Kemurahan-Nya."
Berkat dalam Kamus Dewan mempunyai tiga makna iaitu 1. rahmat, restu atau sempena; 2. dengan pengaruh (akibat, sebab), sebagai hasil (manfaat dan sebagainya) yang terbit dari; 3. mujur dan berbahagia. Dalam tulisan ini, berkat mempunyai erti makna pertama dan ketiga daripada yang diberikan Kamus Dewan walaupun tidak dinafikan mungkin juga makna kedua wujud.
Khamis lalu adalah hari terakhir Forum Ekonomi Dunia Islam Keempat (Wief) di Kuwait yang dihadiri beberapa pemimpin dunia Islam. Antara isu dibangkitkan dan perlu diteruskan upaya penyelesaiannya dalam forum yang bermula pada 29 April itu adalah krisis makanan yang melanda dunia hari ini.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon merayu masyarakat antarabangsa membantu menangani isu ini sambil menyifatkan bahawa krisis makanan global bukanlah bencana alam semula jadi, tetapi bagi kebanyakan pihak ia suatu malapetaka.
Dalam ucapannya di Wief, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyeru negara Islam bersatu padu dan berganding bahu dalam menghadapi krisis global yang tidak menentu dan krisis makanan.
Beliau mengingatkan bahawa negara Islam memiliki tanah yang sangat subur yang jika dikelola dengan baik dan benar akan memberikan kesejahteraan hidup kepada umatnya.
Sementara itu, Kuwait menyiapkan dana sebanyak AS$100 juta bagi penubuhan sebuah dana Islam untuk memberi bantuan makanan kepada orang miskin.
Mengapa krisis makanan terjadi pada hari ini padahal masyarakat antarabangsa mengaku dengan bangga bahawa mereka sampai ke tahap ketamadunan yang tinggi? Mengapa krisis makanan terjadi pada hari ini padahal masyarakat antarabangsa mengisytiharkan bahawa masa ini adalah masa kegemilangan teknologi?
Adakah sesuatu yang pincang dalam kehidupan masyarakat antarabangsa hari ini? Pada satu pihak teknologi dan saudaranya terus mara menjelajahi kehidupan moden, manakala di pihak lain keperluan asasi manusia (baca: makan) terbengkalai dan dilupakan.
Kita melihat ke langit dengan melupakan rumput yang kita pijak di bumi. Maka, krisis makanan menimpa masyarakat antarabangsa 'berkat' kemurkaan bumi kita.
Ketika mentafsirkan ayat 96 Surah al-A'raf di atas, Imam al-Razi, dalam tafsirnya Mafatih al-Ghaib menulis: "Bahawasanya ketika Allah menjelaskan dalam ayat sebelum ini mengenai balasan hukuman mengejut ke atas penduduk negeri yang berbuat maksiat dan derhaka kepada-Nya, dalam ayat ini Dia memberitahu, bahawa sebaliknya seandainya mereka tunduk taat kepada-Nya maka akan dibukakan ke atas mereka pintu-pintu kebaikan. Maka Dia berfirman "Sekiranya penduduk negeri itu beriman yakni beriman kepada Allah, malaikat, kitab, rasul-Nya dan hari kiamat, serta bertakwa" yakni menjauhi semua yang dilarang dan diharamkan-Nya, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi yakni berkat dari langit adalah seperti air hujan, dan berkat dari bumi adalah tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan, banyak binatang ternak dan mengecapi kedamaian dan keamanan. Perkara ini berlaku kerana langit diumpamakan sebagai seorang ayah, manakala bumi diumpamakan sebagai seorang ibu dan daripada merekalah semua manfaat dan kebaikan boleh dihasilkan dan diuruskan." (vii/195)
Krisis makanan global tidak terlepas daripada keadaan dunia yang kukuh, mantap dan stabil. Jika ketiga-tiga faktor ini lesap, maka pelbagai krisis akan hinggap. Dalam pandangan Ibn Khaldun: "Bahawa kemajuan dan kemakmuran di bandar-bandar bergantung kepada keadaan negara dan kerajaan; kerana kemajuan dan kemakmuran bandar-bandar itu akan tercapai apabila perjalanan kerajaan kukuh, mantap dan stabil. Punca utama kemajuan dan kemakmuran itu ialah wujudnya keamanan dan lebihan pendapatan penduduk negeri mengatasi paras keperluan dalam beberapa bentuk kemajuan dan kemakmuran, iaitu lebihan yang seimbang dengan keselesaan dan kemewahan hidup, dan sesuai pula dengan jumlah penduduk yang ramai atau kurang.
Wujudnya pertambahan yang tidak tersekat yang berlaku dalam pelbagai bidang dan lapangan. Dengan demikian, kedudukan dan taraf kemajuan itu sama dengan taraf kemajuan dalam bidang perusahaan yang semuanya itu berlaku akibat tindakan dan pimpinan pihak kerajaan, kerana kerajaan yang mengumpul harta wang rakyat jelata dan membelanjakannya pula untuk membayar gaji dan upah kakitangan dan pegawai-pegawainya." (Ensiklopedia Ekonomi Islam, ii/530)
Allah mencipta manusia dan menetapkan bumi sebagai tempat hidup mereka. Dia mengatur segalanya termasuk makanan untuk kepentingan manusia di bumi. Allah berfirman maksudnya: "Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah juga yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata." (Surah Hud: 6)
Manusia tidak akan kekurangan apa-apa dalam perkara rezeki dan sebagainya kecuali kerana tindak tanduk mereka sendiri yang merugikan mereka. Allah berfirman maksudnya: "Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah al-Rum: 41) Dalam Tafsir ar-Rahman disebutkan, "Yakni bala bencana yang tidak putus-putus berlaku di sana sini adalah disebabkan perbuatan maksiat yang dilakukan oleh umat manusia sendiri. Mereka ditimpakan dengan demikian supaya mereka segera insaf dan menjauhi segala perbuatan durjana. Jika tidak, maka balasannya lebih buruk lagi."
Jadi, jelaslah krisis makanan global ini bukanlah bencana semula jadi seperti yang disebut Ki-Moon adalah padah sebagai balasan terhadap perilaku manusia yang tidak mengendahkan hukum-hukum Tuhan seperti yang ditegaskan al-Quran. Mereka dilarang membazir, tetapi sebaliknya pembaziran adalah keseronokan mereka. Mereka dilarang menghamburkan harta, tetapi sebaliknya penghamburan harta adalah kebanggaan mereka. Mereka dilarang memakan harta secara batil, tetapi sebaliknya mereka pemakanan harta secara batil adalah kebiasaan harian mereka. Jika demikian, bagaimana tidak timbul krisis makanan global.
Dalam Islam, sebagai satu daripada cara mengatasi krisis makanan adalah dengan kewajipan mengeluarkan zakat. Di antara objektif pensyariatannya adalah membantu melaksanakan jaminan sosial. Pemberian zakat kepada fakir miskin dan pihak yang memerlukan bukan saja memberi kesan kepada mereka secara individu, tetapi kepada masyarakat keseluruhannya. Bantuan diberikan kepada mereka bukan hanya boleh melegakan hidup mereka secara peribadi, tetapi boleh menjadikannya lebih aktif dan masyarakat mendapat faedah daripada aktiviti mereka itu. Berasaskan objektif ini, zakat boleh disifatkan sebagai jaminan ke atas semua pihak yang memerlukan sama ada dari segi fizikal, mental ataupun moral. Dengan itu, ajaran Islam dapat menyelamatkan manusia daripada terjerumus ke dalam krisis makanan.
Malangnya, masyarakat dunia sekarang dipimpin oleh orang yang tidak beriman kepada Tuhan sebenar pencipta manusia, yakni Allah Subhanahu wata'ala. Oleh itu, ia terlepas kendali daripada jalan yang lurus. Almarhum Sayyid Qutb dalam bukunya Ma'alim fi al-Tariq pernah menulis, "Umat manusia sekarang ini berada di tepi jurang kehancuran. Keadaan ini bukanlah berpunca daripada ancaman maut yang sedang tergantung di atas ubun-ubunnya."
Ancaman maut itu adalah satu gejala penyakit saja dan bukanlah ia penyakit itu sendiri. Sebenarnya punca utama dari keadaan ini ialah "Muflis dan melesetnya umat manusia itu dalam bidang 'nilai' yang menjadi pelindung hidupnya.
Hal ini terlalu menonjol di negara Barat yang sememangnya sudah tidak punya apa pun 'nilai' yang dapat diberinya kepada umat manusia, malah tidak punya satu apa pun yang dapat memberi ketenangan hatinya sendiri, untuk berasa perlu hidup lebih lama lagi..."
Jika kita masih berkiblat ke Barat maka kita akan berhadapan dengan janji Allah maksudnya: "Patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta berasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, ketika mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta berasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, ketika mereka leka bermain-main? Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka berasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang berasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang yang rugi." (Surah al-A'raf: 97-99)
Ya Allah, janganlah Engkau menjadikan kami termasuk orang yang rugi. Amin!
No comments:
Post a Comment